Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk
membantu Nabi Ibrahim membangunkan Ka'bah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan
anaknya pun mula membina Ka'bah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada mereka tempat
yang harus dibina Baitullah itu.
Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa
Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan
anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar
melanda.
Satu riwayat lagi mengatakan bahawa
tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya
binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka
sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi
Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan
pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula
mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud,
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail
meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan
berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya
Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila binaan sudah meninggi, Nabi
Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim
dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah
S.W.T sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka
terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga
hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.
Apabila agama Islam datang, Allah
S.W.T mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana
firman Allah yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu
tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu
adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah selesai pembinaan Baitullah,
maka Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat
manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,
"Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka
akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan
berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk
rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke
gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di
sana beliau memanggil dengan nama Allah, "Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu
hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."
Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke
kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah S.W.T menyampaika seruan Nabi
Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah
pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan
sah tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya,
"Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, aku datang untuk menunaikan
panggilan-Mu ya Allah.
Menunaikan haji adalah salah satu
rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu
melaksanakannya. Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari
menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang
melakukan maksiat lebih buruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu,
hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya
menunaikan haji.
Kalau kita menunaikan haji tanpa
mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan
sebab ia tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Dan ini adalah salah satu punca
mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi mereka yang mendapat kenikmatan
haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh
Allah S.W.T sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna.
Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal,
sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah
S.W.T.